Sudah lama tidak berblog. Agak sukar memaksa diri memulakan ayat di sini. Sebenarnya, setelah sekian lama blog ini mengalami masalah di bahagian admin tapi terlalu malas untuk di betulkan kerana banyak kerja lain yang nak di buat. Masalah di bahagian admin menyebabkan kesukaran untuk update post. Ah, sudahlah. Semua tu alasan je. Orang kata nak seribu daya, tak nak seribu dalih. (Dah macam orang gila bagi alasan lepas tu sendiri patahkan alasan tu).
Lama dah merancang menulis post ni. Aku tidak pasti untuk apa. Untuk mengingatkan kembali sejarah blog ini mungkin. Atau mungkin untuk mendapatkan mood menulis blog kembali. Mungkin juga untuk menjadikan post ini penamat kepada blog ini. Ah, mungkin, mungkin dan mungkin.
Permulaan
Di majlis “Sepetang bersama Denaihati” aku ada bercerita bagaimana aku memulakan perjalanan sebagai seorang blogger. Aku mula mencari platform yang bersesuaian pada tahun 2003 untuk menulis ‘diari’ online. Tetapi aku bukan mahu berkongsi kepada dunia apa yang aku mahu coretkan ketika itu. Sekadar menulis untuk meluahkan geram, marah atau apa saja yang terbuku dihati. Jadi aku tercari-cari platform blog mana yang aku boleh “lock” dari orang lain membacanya. Tahun 2003 adalah tahun-tahun awal kemunculan platform blog.
Seingat aku, blogspot masih belum wujud. Dan semua platform blog ketika itu sukar dikawal rupa bentuknya dan tidak ada satu pon yang membenarkan kandungannya di ‘lock’. Jadi aku mencari platform self-hosted dan install sendiri di hosting. Ya, waktu tu aku dah ada hosting sendiri. Dan hosting ketika itu sangat-sangat mahal kalau nak dibandingkan dengan sekarang. Aku memang minat terhadap programming laman web sejak dari sekolah dan mula ada website sendiri di geocities pada tahun 1997 dan mempunyai domain sendiri pada tahun 1999 (tak bayar pon masa tu – main register dan boleh pakai).
Pertengahan
Aku beralih ke WordPress (waktu itu version 1.2 atau 1.5) pada tahun 2005 kerana platform yang aku gunakan sebelum itu sudah tidak diteruskan oleh pembangunnya dan platform tersebut mengalami masalah injection pada database yang sangat kritikal. Waktu itu aku tidak terfikir untuk membetulkan masalah tersebut. Perjalanan sebagai blogger diteruskan dengan wordpress dan menjadi blog peribadi yang biasa ketika itu.
Dari blog aku mengumpul ramai kenalan dan ada yang masih berhubungan sehingga sekarang. Sehingga tertubuh satu kumpulan blogger yang kecil. Kami ada aktiviti sendiri waktu itu. Ada gathering dan juga sesi mengumpat di Yahoo! Messanger.
Pada 2006, aku beralih ke domain ini, orange4k.com. Proses memikirkan nama sahaja mengambil masa berminggu-minggu. Haha. Dan blog ini terus menjadi tempat meluahkan rasa dan segala pengalaman sebagai seorang pelajar MMU. Sehingga aku mengambil keputusan untuk berhenti belajar ketika bulan puasa 2007. Minggu ketiga raya tahun tersebut, aku sudah pun memulakan hidup sebagai seorang pekerja sepenuh masa. Ketika itu aku hidup menumpang di rumah pakcik dan tiada talian internet. Waktu tu wireless broadband masih belum wujud dan 3G melalui telefon cajnya sangat tinggi. Ini menyebabkan blog ni terbiar selama setahun.
Pengakhiran?
Sejak mula bekerja, aku semakin kurang masa untuk berblog. Dan blog sudah menjadi trend yang sangat berkembang. Pada permulaan aku menjadi blogger, tidak ramai membaca blog. Jadi tidak ada rasa segan untuk bercerita kisah kehidupan sehari-hari. Tetapi bila semakin ramai orang yang dikenali membaca blog ni, aku jadi segan untuk bercerita tentang kisah kehidupan sendiri. Ada juga aku cuba menukar fokus blog ni. Tapi tidak berjaya.
Kehidupan sebagai pekerja dan pelajar memang jauh berbeza. Bila dah bekerja, hidup banyak di habiskan untuk kerja. Untuk bercerita kisah kehidupan aku sebagai pekerja di blog ini juga aku perlu berhati-hati. Aku perlu pastikan tidak ada maklumat sensitif atau rahsia terlepas ke blog, perlu pastikan tidak menyingung perasaan majikan mahupun rakan sekerja, tidak boleh menyentuh hal-hal berkaitan dengan pelanggan syarikat yang aku bekerja. Jadi terlalu banyak sekatan yang aku lakukan pada penulisan aku supaya aku tidak mendapat kesusahan di kemudian hari menyebabkan aku semakin kurang idea yang boleh dikongsikan di blog ini.
Aku suka berkongsi pendapat mengenai apa yang berlaku dalam bidang aku di blog ini. Mengenai internet, syarikat hosting dan seumpamanya. Tetapi seringkali aku bekerja dengan syarikat yang mempunyai kaitan secara lansung atau tidak lansung dengan syarikat yang sering menjadi perbualan di blog-blog. Jika aku terlibat dengan perbualan yg melibatkan syarikat-syarikat ini, boleh menyebabkan hubungan antara syarikat atau kedudukan aku sebagai pekerja terjejas.
Dan sebenarnya beberapa tahun lepas, kedudukan aku sebagai pekerja sudah pun terjejas dengan apa yang aku kongsikan di blog ini, di gathering blogger dan di laman-laman sosial sehingga menimbulkan isu di pejabat dan akhirnya aku meninggalkan syarikat tersebut. Cuma apa yang terjadi menyebabkan aku semakin menjauhkan diri dari blog.
Apa pun, aku masih berharap ini bukanlah pengakhiran blog ini. Amin.
KNizam says
oleh kerana malas nak berblog via laptop, aku plak terpaksa guna liveblogging! lebih mudah dan pantas. hehe 🙂
Mr Kay Em Why says
Orang di perantauan byk benda boleh share dgn live blogging. Aku sekali sekala berjalan, so tak menyempat nak liveblogging. kalau pegi bercuti lupakan semua benda dah. haha
KNizam says
actually aku berjalan keliling2 ni je. snap pic senang. nak taip words. makaihhhhh malas giler. hehe 🙂
kujie says
Baca 3 perenggan, belum panas enjin lagi dah nak pengakhiran?
tulislah Kay mcm dulu²…. sesekali boh pedas² baru sedap.
Mr Kay Em Why says
insyaAllah kak. Nak dptkan momentum tu yang susah. hehe.
mohd luthfi says
aku dah kena kes macam hang bro..
bagi kita, info yang kita share tu bukannya sensitif tapi bagi company sangat sangat sensitif dan sulit..
masa kerja susah la nak dapat mood blogging macam belajar dulu..
mana nak cari mood ntah taktau..
Mr Kay Em Why says
aku rasa ramai yg ada masalah macam ni. Kita pun kadang2 susah nak bezakan mana yg company rasa maklumat sensitif. Last2 kita sendiri tak tau nak tulis apa.